Trip ke Istanbul, Turki Tak Mahal Mana Pun. Jalan Kaki Je
close
Travel

Trip ke Istanbul, Turki Tak Mahal Mana Pun. Jalan Kaki Je Untuk Ke Tempat-Tempat Ini

Pada anda yang pasang angan-angan untuk travel separuh dunia tapi risau kurang budget, mungkin anda mahu pertimbangkan Turki dalam wishlist anda.

Negara ini bukan sahaja ada empat musim (so, yang tak pernah merasa salji, bolehlah acah-acah Winter Sonata sikit), malah matawang Turki Lira juga rendah sikit berbanding ringgit. Jadi, anda tak perlu risau kena bayar sampai RM10 untuk air mineral macam di UK atau Jepun.

Turki mengukir nama dalam sejarah dunia sebagai tempat persinggahan Laluan Sutera (Silk Road) yang menghubungkan negara timur dan barat. Destinasi ini amat kaya dengan sejarah di mana anda boleh lihat banyak tempat lama dari ribuan tahun dulu seperti tinggalan zaman Roman, kubu pertahanan Greek, istana dari zaman kegemilangan Uthmaniyah hinggalah ke biara-biara Empayar Rom Timur (Byzantine).

Masjid Biru

Kalau anda singgah ke mana-mana pesta pelancongan seperti Matta Fair, harga yang ditawarkan untuk Turki selalunya bermula dalam lingkungan RM3,500 untuk 10 hari dari Istanbul hingga ke Cappadocia.

Tapi jika nak percutian budget tak kira lah untuk backpacking ke, honeymoon ke, Istanbul ada banyak tempat menarik, boleh jalan kaki sahaja sebab jarak antara semua lokasi tak jauh mana pun. Tak kira di ceruk mana pun anda berjalan, makanan halal ada di mana-mana, dan yang paling penting, harga tak cekik darah. Apa tunggu lagi, Istanbul Aku Datang!

Jadi … Apa Tempat Menarik Untuk Jalan-Jalan, Turki?

Hagia Sophia

CC BY-NC-ND 2.0 David White

Dibina pada tahun 537 masihi, Hagia Sophia pernah digunakan sebagai gereja, kemudiannya masjid dan kini sebagai muzium. Ia mula dibina sebagai gereja atas titah Maharaja Byzantine Justinian I. Pada tahun 1453, Hagia Sophia menjadi masjid ketika kejatuhan Constantinople yang menjadi ibu kota era Byzantine oleh Empayar Uthmaniyyah dibawah perintahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Dari situlah Islam mula berkembang di Turki. Bangunan ini kekal sebagai masjid hingga dijadikan muzium pada tahun 1935. Hiasan dalaman Hagia Sophia bukan sahaja dipenuhi lukisan khat, malahan terdapat hasil seni halus dari era Byzantine.

Sebelum berjaya mengekalkan jawatan beliau dalam pilihanraya umum bulan lepas, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ada mencadangkan agar Hagia Sophia dijadikan masjid semula.

 

Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru)

CC BY-NC-ND 2.0 Clark & Kim Kays
Masjid Biru

Lagi-lagi pada pasangan yang baru bina masjid, imam (suami) wajib bawa isteri pergi lokasi ini. Jangan bila bercuti je, solat pun tinggal. Ini merupakan masjid paling terkenal di Turki. Terletak bertentangan dengan Hagia Sophia, Masjid Biru ini dibina pada tahun 1616 atas perintah Sultan Ahmed I untuk menyerlahkan lagi Empayar Uthmaniah. Seperti Hagia Sophia, masjid ini dipenuhi seni halus, enam menara dan lima kubah. Memang sejuk hati bila anda jejak masjid ini.

Basilica Cistern

CC BY 2.0 Ralf Steinberger

Basilica dalam konteks era Rom diterjemahkan sebagai mahkamah atau dewan, manakala cistern ialah tempat simpanan air.

Terletak 290 meter dari Masjid Biru, tempat bawah tanah ini pada mulanya tiada air. Sebaliknya, Basilica Cistern ini pernah berfungsi sebagai pusat komersil, undang-undang serta seni. Artifak purba menunjukkan tempat yang dibina antara kurun ketiga dan keempat atas perintah maharaja Konstantine ini dipercayai dipenuhi taman dan tiang-tiang indah yang menghadap ke Hagia Sophia. Tujuh ribu hamba telah dikerah untuk membina sistem tapisan air cistern untuk bekalan kawasan terdekat. Cistern ini adalah antara satu dari ratusan kawasan simpanan air bawah tanah yang terdapat di Istanbul.

Tiang-tiang dari batu marmar yang dipamerkan adalah original dan terdapat ukiran air mata dan juga kepala Medusa (makhluk berupa wanita berbadankan ular dari mitologi Greek. Sesiapa yang melihat muka Medusa akan bertukar menjadi batu). Ukiran air mata itu dikatakan simbolik untuk memberi penghormatan kepada hamba kanak-kanak yang mati ketika dikerah membina cistern ini.

Empayar Uthmaniah tidak menggunakan cistern ini dan ianya dijumpai apabila penduduk tempatan secara tidak sengaja “terpancing” ikan dari lubang bawah rumahnya. Peminat Bond memang wajib pergi tempat ni yang ditampilkan dalam filem 1963 From Russia with Love.

Hippodrome

CC BY-NC-ND 2.0 Mattia Panciroli

Kalau nak feeling macam filem Gladiator, memang kena singgah sini. Dekat je, bertentangan dengan Masjid Sultan Ahmed. Nama tempat ni mungkin bunyi macam badak air, tapi sebenarnya datang dari nama Greek yang bermaksud hippo (kuda) dan dromo (jalan).

Dari zaman Rom lagi, Hippodrome ini digunakan untuk acara gladiator seperti lumba kereta kuda, lawan hingga mati, upacara rasmi, demonstrasi dan banyak lagi. Dalam era Byzantine, kebanyakan rakyat suka berjudi dalam setiap acara yang diadakan di sini yang boleh memuatkan hingga 100,000 orang. Juga digunakan sebagai simbol kuasa empayar, tempat ini juga mempunyai beberapa monumen yang dihadiahkan dari kerajaan seluruh dunia seperti tiang ular dari Mesir.

Tiang yang ada sekarang telah dipotong ketika era Uthmaniah kerana kepala ular itu dianggap sebagai menyesatkan. Dari kerajaan Uthmaniah lagi, segala acara gladiator telah dihapuskan. Sebaliknya, kawasan ini ditukar nama menjadi At Meydani (Dataran Kuda) yang menjadi tempat untuk beriadah atau bersosial. Hippodrome ini juga penuh dengan penjual street food, jadi sesuailah kalau anda nak berehat sebentar.

Grand Bazaar

CC BY-NC-ND 2.0 Natalie Marchant

Lebih kurang satu kilometer dari Hippodrome, dalam 15 minit jalan kaki santai, dah boleh sampai Grand Bazaar – tempat jual beli terbesar dan tertua di Turki. Di sinilah tempat nak shopping untuk cenderamata. Ada lebih 3,000 buah kedai yang menjual macam-macam benda dari barang antik hinggalah makanan famous seperti Turkish Delight dan Balli Yogurt yang dihidang dengan madu dan kas-kas. Jangan gatal nak bawak balik kas-kas ke Malaysia kalau tak nak kena tahan dekat Kastam.

Istana Topkapi

CC BY-NC-ND 2.0 Fred Murphy

Hanya 600 meter dari Grand Bazaar, Istana Topkapi ada antara tapak sejarah terbaik di Turki. Istana yang berfungsi sebagai kerajaan pusat dan istana sultan-sultan bagi empayar Uthmaniah ini merupakan kompleks yang dipenuhi bangunan bersejarah, taman-taman dan hiasan seni halus bak sutera. Dibuka pada tahun 1478, Istana Topkapi amatlah besar hinggakan ia menjadi seperti bandar kecil yang memuatkan 50,000 orang. Tempat ni sangatlah cantik, kalau ambik gambar dari mana-mana pun, memang nampak macam anda di istana zaman lampau. Pada pro photographer atau wannabe pun, lighting serta seni bina halus di sini memang boleh mengalir air mata terkesima.

Menara Galata

Dari Grand Bazaar, anda boleh berjalan merentasi jambatan yang ada laluan penjalan kaki untuk ke Menara Galata yang gah berdiri dari tahun 1348 sebagai menara tinjau. Dari atas, anda akan dapat permandangan penuh bandar Istanbul. Pada waktu malam pula, anda boleh lihat persembahan kebudayaan Turki.

Kalau Ada Budget Lebih, Travel Ke Cappadocia

Kalau anda betul-betul mahu naik belon udara panas di Cappadocia, harga pada ‘off season’ seperti musim sejuk lebih murah berbanding tarikh lain.

Kalau anda perasan, ada kawan yang pergi Turki akan tunjuk gambar puluhan belon udara panas terbang dengan view yang sampai ternganga mulut — itu lah antara aktiviti menarik di Cappadocia.

Perjalanan dari Istanbul agak jauh. Jadi anda boleh naik bas untuk travel sejauh 700 kilometer. Kalau budget lagi banyak, naik flight je lagi senang
boleh cari flight murah dari Kiwi.com. Harga untuk naik belon ni sememangnya untuk golongan bangsawan sejam untuk USD200 (RM830) seorang. Bakul belon tersebut kebanyakannya boleh memuatkan tujuh orang termasuk pengemudi.

Selain daripada belon udara panas ni, Cappadocia (sebutan ‘Kapa-do-sia’) juga mempunyai beberapa tempat menarik seperti bangunan yang diukir daripada batu, bandar bawah tanah dan gereja dalam gua.

Turki memang dipenuhi dengan sejarah dan banyak lagi tempat yang menceritakan bukan sahaja sejarah penting Islam, tetapi juga Kristian dan Greek. Jadi, jika anda mahu berjalan lebih jauh dari Istanbul, tepuk dada, tanya selera.

Send this to a friend