Terbang Tinggi dan Menempuhi Cabaran Bersama Tony Fernandes
close
Culture

Terbang Tinggi dan Menempuhi Cabaran Bersama Tony Fernandes

Tony Fernandes telah mengetengahkan demokrasi dalam industri penerbangan dan membuka Asia ke persada dunia, tetapi tidak ramai yang tahu tentang perjalanan beliau dari seorang budak kecil yang bercita-cita tinggi sehingga menjadi antara mogul paling berkarisma dalam industri penerbangan.

Artikel ini asalnya ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh Ari Vanuaranu di dalam majalah travel360 tentang Tony Fernandes dan buku autobiografi beliau Flying High yang kini telah diterjermah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Jepun.

Group CEO of AirAsia dan Co-Group CEO of AirAsia X, Tan Sri Dr Tony Fernandes memegang patung miniatur dirinya.

Hari pertama memulakan pekerjaan baru adalah menakutkan, tidak kira sama ada anda adalah lepasan universiti atau sudah lama bekerja. Berbekalkan kemeja yang diseterika kemas dan plan pejabat yang dilukis rapi dalam buku nota baru, saya bersedia untuk menampilkan diri sebagai pekerja baru di AirAsia. Walaupun rakan-rakan sekerja memberitahu saya untuk tidak terlampau bersemangat, saya tetap mahu tampak professional. Sehinggalah pada satu pagi saya ternampak Tony Fernandes dengan santai membawa basikal di antara meja-meja.

Tergamam dengan situasi sebegini unik, saya hanya memerhati kerenah Tony memberhentikan basikalnya untuk berlawak jenaka dan mengambil selfie bersama staf AirAsia (yang dipanggil Allstars). Di tempat kerja lama saya, seorang CEO hanyalah suatu imej yang jauh untuk didekati. Tetapi di AirAsia, Tan Sri Dr Tony Fernandes seperti tidak peduli akan pangkatnya sebagai Group CEO AirAsia dan Co-Group CEO AirAsia X. Sebaliknya, beliau tampak seperti bintang muzik yang disukai ramai. Sikap rendah diri dan karisma beliau tersemat di hati saya sejak hari itu, dan membuat saya terfikir yang pengalaman bekerja di AirAsia ini akan menjadi memori yang berharga selamanya.


Tony menyertai kru ramp AirAsia memuat masuk bagasi ke dalam pesawat.

Permulaan Awal

Walau apa pun pekerjaan kita, yang pasti adalah kita akan menghabiskan sebahagian besar masa ketika siang hari di tempat kerja. Oleh itu adalah penting untuk mengimbangi keperluan keluarga dan impian diri sendiri. Sebelum ini saya selalu berfikir bahawa jutawan-jutawan ini sudah mempunyai kehidupan yang senang lenang sejak azali. Tetapi setelah membaca beberapa bab pertama buku Terbang Tinggi: Inilah Kisahku, Dari AirAsia ke QPR, saya sedar yang ianya tidak semestinya betul.

Kisah Tony bermula ketika beliau membesar di Damansara Heights di Kuala Lumpur, dengan sebuah peti yang ditampal dengan pelbagai stiker yang melambangkan segala impian Tony ketika membesar termasuklah kelab bola sepak West Ham United, syarikat penerbangan Qantas Airways, dan pasukan lumba kereta Formula One Williams.

Sebagai pembaca, saya amat tertarik dengan kehidupan beliau ketika membesar semasa zaman 60-an dan 70-an. Ketika Tony masih kecil lagi, bapanya akan membawa beliau ke kedai muzik pada hari Ahad untuk melihat rekod-rekod vinil. Beliau juga akan menunggu ibunya pulang dari trip bisnes di lapangan terbang. Bakat muzik ibunya dan minat sukan bapanya menjadi tunggak utama Tony di tahun-tahun akan datang. Kelak, beliau akan membina empayar di dalam tiga cinta utamanya – penerbangan, muzik, dan sukan.


Tony ketika kecil bersama ibunya, Ena. Munurut bos besar AirAsia ini, beliau mewarisi semangat keusahawanan daripada keluarga ibunya.

Mengambil Tempat

Tony menganggap bapanya, seorang doktor untuk World Health Organisation (WHO) sebagai idola. Beliau amat bangga kerana jururawat-jururawat yang bekerja bersama bapanya menganggapnya lebih kepada seorang abang daripada seorang ketua. Sikap mudah didekati inilah yang banyak dilihat oleh Allstars dalam Tony.

Walaupun begitu, Tony tidak berminat untuk mengambil jalan yang sama, walaupun beliau seorang yang bijak. Kedua ibu dan bapanya mahu Tony menjadi seorang doktor, lalu mendaftarkan beliau di Epsom College di England ketika Tony berumur 12 tahun.

Ketika menjalani kehidupan di asrama, Tony amat merindui Malaysia dan mahu kerap pulang ke rumah, tetapi dicegah oleh ibunya kerana tiket penerbangan zaman itu adalah mahal. Jawapan beliau adalah, “Saya akan menjadikan penerbangan lebih murah!”. Siapa tahu bahawa ayat itu akan menjadi benar beberapa puluh tahun kemudian. Apabila ibunya jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia ketika Tony berumur 15 tahun, Tony amat bersedih. Walaupun begitu, beliau tetap meneruskan pelajaran dan menjadikan trajedi ini sebagai pendorong untuk berjaya dalam mencapai cita-citanya.


Tony dan bapanya Stephen di Epsom College di mana beliau cemerlang di dalam bidang sukan serta banyak belajar tentang erti persahabatan dan kerjasama.

Tony berjaya menjadi akauntan bertauliah, mendirikan rumah tangga, dan membeli rumah di London pada tahun 1987. Tetapi beliau mahukan lebih dari tu, lalu memohon kerja di syarikat televisyen Virgin TV. Walaupun temuduga kerja itu tidak berjalan lancar, Tony berpeluang untuk bertemu dengan pengasas kumpulan Virgin Group iaitu Richard Branson, yang memberikan beliau peluang kedua. Ini telah mengajar Tony untuk menyambar apa saja peluang yang datang.

Walaupun begitu, kerjaya idaman Tony masih ke arah industri muzik. Dengan itu beliau bertukar kerja ke Warner Music International London. Ianya ternyata keputusan yang bijak, kerana selepas itu beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan di Warner Music Malaysia. Ini juga adalah suatu peluang keemasan kerana bukan sahaja beliau masih muda tetapi ini juga peluang untuk pulang ke tanah air. Beberapa tahun pertama di kerjaya baru inilah beliau mengasah kemahiran kepimpinan dan memupuk beberapa persahabatan bermakna yang kelak akan membuahkan hasil.

Tony membuat keputusan untuk berhenti dari Warner Music kerana kecewa dengan pihak pengurusan yang tidak mahu berinovasi. Kata Tony di dalam bukunya, “Hari ini, saya sentiasa memerhatikan detik-detik seperti ini – inovasi yang menonjol kepada perubahan seismik. Apabila saya rasa AirAsia atau mana-mana perniagaan saya tidak dapat bertindak balas dengan cepat terhadap teknologi baru, saya bimbang.”


Kebanggaan yang terselah di riak muka Tony ketika penumpang menaiki antara pesawat pertama AirAsia.

Keputusan untuk memulakan sebuah syarikat penerbangan datang sebagai takdir buat Tony. Satu hari ketika minum di sebuah bar di London, beliau ternampak pengasas kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah EasyJet di kaca televisyen. Ianya menjadi penggerak untuk Tony memulakan satu perjalanan yang akan menjadi obsesi sepanjang hayat beliau – untuk mengetengahkan demokrasi dalam penerbangan.

Ketika saya mula bekerja pada tahun 2012, AirAsia sudah pun berjaya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah paling besar di rantau ini. Bila saya membaca kisah sebenar bagaimana syarikat ini bermula dalam buku Terbang Tinggi, saya berasa amat teruja. Adalah menakjubkan bagaimana Tony membeli syarikat penerbangan yang ditanggung hutang untuk hanya RM1! Apa yang paling mengagumkan saya adalah kerelaan Tony untuk belajar tentang perniagaan dan industri baru.



Tony bersama teman and rakan kongsinya Datuk Kamarudin Meranun, Executive Chairman of AirAsia Berhad dan Group CEO of AirAsia X.

Dengan keazaman yang padu, Tony berjaya mempelajari selok-belok industri penerbangan dengan pantas. Beliau telah mengubah AirAsia daripada sebuah syarikat yang hampir bankrap dengan hanya dua pesawat kepada organisasi yang menguntungkan dengan tambahan tiga belas pesawat dalam masa beberapa tahun sahaja. Di tahun-tahun berikutnya, AirAsia mula berkembang serantau dengan penubuhan AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines, AirAsia India, dan AirAsia Japan. Tony sentiasa mengulangi bahawa kepelbagaian adalah salah satu kekuatan AirAsia; sebagai orang asing di Malaysia, ini adalah sesuatu yang saya rasakan benar pada tahap peribadi.

Tanpa mengira latar belakang, setiap pekerja di AirAsia mempunyai peluang untuk diiktiraf bakat dan prestasi. Semasa membaca Terbang Tinggi, saya merasakan bahawa sebahagian daripada etos ini berakar umbi daripada masalah perkauman yang dialami oleh Tony semasa tinggal di United Kingdom. Bertambah pula bagaimana orang-orang di sana tahu di mana Malaysia berada di dalam peta. Oleh itu, keazaman Tony semakin memuncak untuk meletakkan Asia Tenggara di peta dunia.

Nilai-nilai Teras

Cara kepimpinan Tony ialah dengan menggalakkan sikap bertanggungjawab di dalam para pekerjanya, dan memberikan mereka otonomi dalam pekerjaan yang dilakukan. Sebelum menulis artikel ini, saya telah mendekati beliau untuk bertanya sama ada terdapat apa-apa topik yang mungkin akan dianggap terlalu sensitif. Dia memandang tepat ke arah saya buat seketika sebelum menumbuk saya di bahu secara gurauan dan berkata, “Awak boleh tulis apa sahaja yang awak mahu”.

Inilah sifat biasa Tony seperti yang kami kenali. Kepimpinannya memupuk kreativiti dan inovasi (dua kualiti AirAsia) di kalangan Allstars. Cara kepimpinan ini berfungsi kerana Tony mempunyai visi dan misi yang jelas, dan kami sentiasa bertanggungjawab terhadap kerja kami.


Dengan minat yang mendalam terhadap sukan (bola sepak adalah kegemaran beliau), Tony sentiasa bersedia untuk permainan kriket.

Satu lagi ciri-ciri Tony yang terkenal ialah gaya hidup beliau tentang gaya pengurusan. Bukanlah sesuatu yang pelik jika kami tiba-tiba ternampak beliau berjalan-jalan di dalam pejabat dan berbual dengan Allstars yang boleh mendekati dan bercakap dengannya secara santai. Sikap terbuka beliau membuahkan kepercayaan dan kesetiaan – menjadikan kami bersemangat untuk berdaya saing untuk orgnisasi ini, dan bersatu padu dalam menghadapi sebarang badai.

Nilai-nilai teras Tony terpancar di setiap aspek AirAsia. Apabila kami berpindah ke RedQ (ibu pejabat baru yang dibuka pada tahun 2016 di Malaysia), terdapat empat anjing liar yang sering berkeliaran di luar kawasan bangunan. Haiwan-haiwan ini mungkin akan diusir oleh mana-mana syarikat lain, tetapi Tony memutuskan untuk menempatkan mereka di RedQ. Kini mereka dijaga oleh sekumpulan sukarelawan Allstars, dan juga mempunyai rumah tetap di RedQ yang dikenali sebagai DogQ.

AirAsia sentiasa berada di barisan hadapan untuk menghulurkan bantuan ketika bencana. Ini termasuklah Taufan Haiyan di Filipina pada tahun 2013, gempa bumi di Nepal pada tahun 2015, dan banjir di negeri-negeri utara Malaysia pada tahun 2017. Terdetik saya ketika bencana tsunami tahun 2004 yang melanda Aceh di Indonesia sekaligus mengakibatkan kematian terhadap 167,000 orang. Tony sendiri telah terbang ke sana untuk membantu. Kerja-kerja bantuan bencana di Aceh telah membuka jalan kepada AirAsia Foundation, cabang filantropi AirAsia.

Ketabahan dalam menghadapai kesukaran adalah penting. Dan seperti yang ditunjukkan oleh Tony, menjalani kehidupan yang sahih dan tidak berpura-pura lebih banyak meceritakan tentang watak seseorang daripada apa yang dia pamerkan. Bapa Tony yang amat dedikasi kepada program WHO tentunya sangat bangga dengan beliau.


Tony bersama bekas pemain tengah kelab bola sepak Queens Park Rangers Joey Barton di Wembley pada tahun 2014. Imej: Getty

Terbang Tinggi

Daripada seorang budak lelaki yang memberontak terhadap hasrat ibu-bapanya, Tony telah datang jauh. Menurut Forbes, beliau kini bernilai USD345 juta. Walaupun begitu, beberapa perkara tidak pernah berubah. Antara contoh paling jelas adalah ketika Tony bercakap tentang kelab-kelab sukannya. Beliau telah membeli kelab bola sepak Inggeris Queens Park Rangers, serta pembuat kereta sukan Caterham. Di dalam bukunya, beliau bercerita tentang pelbagai cabaran termasuklah tentang bagaimana bil yang perlu dijelaskan adalah lebih mahal daripada perolehan keuntungan. Sekali lagi, karakter beliau bersinar di sini. Daripada menuding jari terhadap terhadap mana-mana pihak, beliau memberi tumpuan kepada masa hadapan. Daripada menyerah diri, beliau meletakkan sepenuh kepercayaannya pada kedua-dua pasukan ini.

Inilah sebenarnya Tony Fernandes yang menampilkan semangat dalam gaya pengurusan dan idea perniagaan. Memimpin dengan contoh, dia berkongsi perkara yang sama kepada pemain bola sepak kelab Queenspark Rangers apa yang dia katakan kepada kami di AirAsia, “Berani bermimpi dan tidak pernah menyerah kalah”. Semangat, sikap berani, dan keazaman inilah yang telah menjadikan AirAsia syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia.


Tony berswafoto dari dalam ruangan kokpit di gudang pesawat AirAsia.

Terbang Tinggi adalah buku berhalaman 243 muka surat tentang pencapaian, kesilapan, dan pandangan peribadi Tony Fernandes. Sekiranya anda berminat dengan cerita menarik permulaan AirAsia atau tentang seorang usahawan yang bercita-cita tinggi, buku ini adalah untuk anda. Ia bukan sahaja carta perjalanan hidup Tony, tetapi memberi inspirasi kepada pembaca untuk memupuk semangat dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

Lagipun, tidak pernah terlambat untuk membuat peti impian anda sendiri.

Ditulis asal di dalam Bahasa Inggeris (Flying High), buku autobiografi Tony Fernandes kini diterjermah dalam Bahasa Malaysia. Dapatkan Terbang Tinggi: Inilah Kisahku Dari AirAsia ke QPR di kedai-kedai buku utama seluruh Malaysia pada harga RM35 (Semenanjung Malaysia) dan RM38 (Sabah & Sarawak).

Irvin enjoys conversations with the trees and the stars. Sometimes they share recipes, sometimes they share jokes.

Send this to a friend