8 Perkara Yang Menarik Yang Anda Boleh Cuba Di Quanzhou dan Jinjiang, China
close
Travel

8 Perkara Yang Menarik Yang Anda Boleh Cuba Di Quanzhou dan Jinjiang, China

Negara China mempunyai banyak tarikan dan kali ini kami mahu membawa anda menjelajah dua bandar pelabuhan yang kaya dengan sejarah dan budaya sejak berabad zaman iaitu Quanzhou dan Jinjiang. Ianya terletak di wilayah Fujian di timur selatan China, dan anda boleh melawat daerah ini dengan hanya satu penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Quanzhou Jinjiang.

Rakyat Malaysia pasti tergelak bila terdengar ‘Jinjiang’, kerana ‘Jinjang Joe’ adalah gelaran yang kita berikan pada  pemuda yang ingin berpakaian seperti fashionista tetapi gagal. Tapi artikel bukan pasal kawasan Jinjang di Kepong, tetapi ialah J-I-N-J-I-A-N-G di China.

Quanzhou dan Jinjiang terletak bersebelahan, hanya dipisahkan oleh Sungai Jinjiang. Dengan sistem pengangkutan awam yang baik, adalah senang untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar kedua-dua bandar ini.

Jika anda tertanya-tanya apakah perkara menarik yang boleh anda lakukan di Quanzhou, kami mempunyai jawapan untuk persoalan anda. Inilah lapan perkara menarik yang boleh anda cuba apabila melawat Quanzhou dan Jinjiang.

1. Berlatih aksi Kungfu Shaolin di Kuil Quanzhou Shaolin

Imej: Quanzhou Tourism

Kalau anda nak tahu, ada sebuah kuil yang terletak di sebelah timur Gunung Qingyuan di mana bermulanya salah sebuah seni mempertahankan diri. Ianya dikenali sebagai Nan Pai, atau South Shaolin Martial Arts. Ketika zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing, Nan Pai telah berkembang sehingga  ke Taiwan, Hong Kong dan Asia Timur.

Di kuil ini, anda boleh melihat sami-sami berlatih kungfu shaolin mereka. Anda juga boleh belajar aksi-aksi terrer dari mereka untuk menunjuk-nunjuk kepada member bila kembali ke Malaysia.

2. Berjalan melalui Jambatan Anping yang pernah dinobatkan sebagai Jambatan Terpanjang Di Dunia pada suatu ketika

Imej: Quanzhou Tourism

Pembinaan Jambatan Anping bermula pada tahun 1138 dan mengambil masa selama 13 tahun untuk disiapkan. Jambatan sepanjang dua kilometer ini juga mempunyai empat pagoda bersegi empat dan dua pagoda bulat sepanjang jalan dimana anda boleh berehat sebentar dan mengambil gambar untuk koleksi Instagram. Jika anda peminat sejarah, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyeberangi jambatan bersejarah yang pernah digelar jambatan terpanjang di dunia sehingga tahun 1905.


3. Menaiki Menara Batu Berkembar Batu yang tertinggi di negara China

Imej: Quanzhou Tourism

Dua pagoda diperbuat dari batu-bata, Menara Timur Barat dibina kira-kira 1,300 tahun dahulu. Bertempat di dalam kawasan Kuil Kaiyuan, menara berkembar ini adalah menara batu berkembar yang tertinggi di China. Menara berkembar ini dikenali dengan seni binanya yang berasal dari Dinasti Song. Kedua-dua menara ini pernah dilanda angin kencang, hujan lebat dan juga gempa bumi, tetapi masih berdiri sampai sekarang. Menara yang berada di sebelah timur dikenali sebagai Menara Zhenguo pada ketinggian 45.06 meter manakala menara disebelah barat pula dikenali sebagai Menara Ren Shuo pada ketinggian 48.27 meter. Jangan lepaskan peluang untuk melawat kedua-dua menara ini untuk menikmati pemandangan yang cantik di sekitar kawasan ini.

Waktu operasi: 8pg – 5.30ptg

4. Nikmati suasana pantai di Teluk Separuh Bulan (Half Moon Bay)

Imej: Quanzhou Tourism

Teluk Separuh Bulan ialah sebuah pantai yang sangat indah di Teluk Chongwu. Disini anda boleh berehat di atas pasir keemasan atau bermain air laut. Jika anda tertanya mengapa pantai ini dipanggil Separuh Bulan, ini disebabkan bentuknya yang seperti bulan sabit. Kecantikan pantai ini sangat terkemuka hingga ia digelar sebagai salah satu dari pantai yang tercantik di China oleh majalah National Geographic.

5. Pelajari budaya masyarakat Hui’an yang bertempat di sini

Imej: Quanzhou Tourism

Masyarakat Hui’an mempunyai adat yang unik dimana pengantin baru tidak dibenarkan tinggal bersama dalam masa lima hari selepas hari perkahwinan mereka.  Selain itu, kedua-dua pengantin juga tidak dibenarkan untuk tidur sebilik sehingga si isteri melahirkan anak pertama! Tetapi nasib baik, adat ini tidak lagi diikuti oleh pemuda-pemudi Hui’an zaman moden.  

Siapakah masyarakat Hui’an? Mereka adalah sebahagian daripada komuniti Han yang berasal dari Quanzhou. Adat dan budaya mereka berasal dari lebih 2,000 tahun dahulu, dan sesetengahnya masih diamalkan sekarang. Wanita-wanita kaum Hui’an juga dikenali dengan pakaian tradisional mereka yang berwarna-warni.

6. Berlagak seperti Marco Polo di Muzium Maritim Quanzhou

Imej: Quanzhou Tourism

Quanzhou adalah sebuah bandar pelabuhan, maka tidak hairanlah dengan adanya sebuah muzium yang khususnya untuk maritim. Muzium ini dibuka pada 1959 dan adalah satu-satunya muzium di China yang memaparkan explorasi negara ini di seluruh dunia. Pengunjung akan kagum dengan ukiran-ukiran batu serta batu nisan orang-orang beragama Islam, Kristian, Hindu dan Manichaeism. Inilah bukti bahawa perpaduan agama di bandar ini telah wujud sejak beribu tahun. Ada pelbagai model kapal laut dan bangkai kapal yang dipamerkan di sini, jadi inilah peluang anda untuk berlagak sebagai penjelajah terkemuka Marco Polo (yang pernah berhenti di Quanzhou semasa expedisinya) dan mangambil gambar untuk koleksi sosial media anda. Apa yang paling best – anda boleh masuk muzium ini secara percuma!

7. Menikmati pemandangan indah sekitar Kuil Quanzhou Water Rock

Imej: Quanzhou Tourism

Kuil Quanzhou Water Rock, yang juga dikenali sebagai Kuil Qingshui Yan, diasaskan pada 1083 oleh seorang sami beragama Buddha yang bernama Chen Puzu. Apabila Chen Puzu meninggal dunia pada 1101, penduduk tempatan telah mengukir imejnya pada dinding kuil sebagai tanda hormat.

Kuil ini terletak di kaki Gunung Penglai, di mana pemandangan amat cantik. Jika anda mendaki Gunung Penglai lebih tinggi, anda akan terserempak dengan Banling Pavilion dan Hujie Palace serta ukiran batu dalam pelbagai bentuk dan saiz. Pemandangan yang indah dari sini dan nyanyian merdu dari sami-sami pasti akan membuat lawatan anda ke sini berbaloi.  

Waktu operasi: 6pg – 5.30ptg

Bayaran masuk: CNY15

8. Kagumi senibina unik Arab dan Cina di Masjid Qingjing

Imej: Quanzhou Tourism

Jika anda peminat reka bentuk dan seni bina, anda mesti melawati Masjid Qingjing. Semasa Dinasti Song, Quanzhou merupakan sebuah pelabuhan perdagangan yang penting dan ia menarik para pedagang dari negara-negara Arab. Masjid ini dibina sebagai replika sebuah masjid di Damascus pada 1009 oleh komuniti Arab Muslim yang menetap disini pada masa itu. Masjid yang berukuran 2,500 meter persegi ini dibina menggunakan diabase dan batu granit. Terdapat juga bunga teratai yang diukir pada kubah masjid dan inskripsi Bahasa Arab pada dinding batu yang berasal dari Dinasti Song dan Dinasti Yuan. Gabungan elemen Arab dan Cina di sekitar Masjid Qingjing menandakan persahabatan erat negara China dengan negara-negara Arab.   

Waktu operasi: 8pg – 5.30ptg

Bayaran masuk: CNY3

Jom pergi China! Dapatkan tiket penerbangan and penginapan di airasia.com

Greg takes joy in writing press releases and has an almost unhealthy obsession with Sydney and nasi lemak.

Send this to a friend