'Molka' - Epidemik Merakam Perempuan Secara Rahsia di Korea Selatan
close
Culture

Molka – Epidemik Kamera Rahsia Yang Melanda Korea Selatan

“Kau kena ketumbit, mesti sebab mengintai orang mandi.” Perkara ni memang biasa jadi usikan di kalangan masyarakat Melayu.

Namun di Korea Selatan, ia adalah satu masalah yang sangat teruk dan dipanggil sebagai molka, iaitu perlakuan merakam mangsa secara rahsia. Jenayah ini berlaku di tandas, di bilik persalinan, malah di dalam rumah mangsa sendiri.

Kamera yang digunakan ini tidak terhad kepada smartphone sahaja, malah ia datang dalam bentuk alatan harian seperti pen, jam, kunci kereta, malah ada yang meletakkannya di atas kasut untuk merakam dari bawah kain atau skirt wanita.

Kamera rahsia berbentuk kunci kereta. Gambar oleh Reuters, dipaparkan di TheNewsLens.

Lebih teruk lagi, ada yang merakam hubungan seks tanpa kebenaran atau pengetahuan wanita yang terlibat.

Kontroversi membabitkan bintang K-pop terkenal

Baru-baru ini, seorang selebriti Korea Selatan mengaku telah merakam adegan seks secara rahsia dan berkongsi video-video tersebut di dalam group chat. Salah seorang ahli dalam group chat tersebut adalah Seungri daripada Big Bang, kumpulan K-Pop yang amat terkenal di Korea Selatan.

Kes berprofil tinggi ini telah membangkitkan semula perbualan tentang masalah molka yang sangat teruk di negara itu.

Molka dianggap sebagai ‘kejadian biasa’ di Korea Selatan

Han Jin-young adalah seorang wanita yang bekerja di sebuah syarikat perdagangan, di mana dia terjumpa kamera kecil di dalam tandas. Kamera ini telah diletakkan oleh salah seorang rakan sekerja lelaki.

Dalam kes lain, Choi, telah dirakam sewaktu dia tidak berpakaian di dalam apartmentnya sendiri. Rakaman itu diambil dari bumbung bangunan bersebelahan menggunakan lensa telefoto.

Seorang lagi mangsa, Kim, telah dirakam di sebuah restoran. Dia perasan seorang lelaki meletakkan telefon dari bawah meja lalu Kim merampasnya. Kim sangat terkejut apabila berjumpa video perempuan lain yang dikongsi dan dibincangkan bersama kawan-kawan lelaki tersebut.

Apabila kali pertama melihat group chat tersebut, Kim sangat terkejut dan mula menangis. Gambar oleh BBC.

Jenayah rakaman ini adalah jenayah yang serius. Namun perkara yang turut menyedihkan adalah kerelaan sebilangan golongan lelaki Korea Selatan untuk berkongsi gambar dan video tersebut tanpa rasa bersalah.

Menurut seorang aktivis, Han Sol, perkongsian video molka di kalangan rakan-rakan lelaki Korea Selatan sudah menjadi ‘aktiviti lazim’ sesama mereka. Satu komen di media sosial mengatakan individu yang berkongsi video seks mereka sendiri berbuat demikian untuk menunjukkan ‘kelelakian’ di kalangan rakan mereka.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, mengakui bahawa molka telah menjadi “sebahagian dari hidup seharian” dan berjanji akan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pelaku.

Malangnya, ramai mangsa molka tidak melaporkan kes ini kerana bimbang akan dipandang serong oleh kawan dan keluarga. Mereka juga bimbang akan dipersalahkan kerana cara pemakaian mereka, malah terdapat banyak kes di mana aduan yang dibuat tidak diambil berat oleh pihak polis.

Kurang tindakan serius daripada pihak berkuasa

Mangsa pertama tadi, Han Jin-young, berjumpa ratusan gambar dan video klip akan dirinya dan perempuan-perempuan yang lain. Pihak polis pada mulanya cuba memperlekehkan aduan Han. Naib presiden syarikat tersebut pula menyatakan yang lelaki tersebut jatuh cinta dengan Han dan tidak lagi mempunyai perasaan terhadap isterinya yang sarat mengandung.

Han berhenti daripada tempat kerja tersebut, manakala naib presiden tersebut hanya didenda sebanyak 500K won (RM1.8K).

Dalam kes Choi, lelaki yang mengintainya telah ditangkap sewaktu melakukan jenayah tersebut. Namun lelaki tersebut hanya disoal-siasat buat sementara dan dilepaskan tanpa sebarang dakwaan.

Mengikut undang-undang Korea Selatan, pesalah boleh didenda sehingga 1 juta won (RM3.6K) atau penjara sehingga 5 tahun. Namun realitinya, jumlah individu yang dikenakan hukuman sangatlah kecil. Daripada lebih 5,400 kes yang dilaporkan pada tahun 2017, kurang daripada 2% daripada tertuduh dikenakan hukuman penjara.

Sebilangan wanita mula rasa risau apabila berada di tempat awam, malah ada yang mengelakkan tandas awam sama sekali. Gambar oleh Getty, dipaparkan di BBC.

Menurut seorang ketua persatuan hak asasi wanita, terdapat banyak kes di mana tiada tindakan diambil kerana gambar atau video tersebut hanya memaparkan kaki atau punggung (yang berpakaian), jadi hakim memutuskan yang ianya tidak membawa aib kepada mangsa.

Malah ada kes di mana mangsa terpaksa mencari video bogel mereka yang telah dimuatkan di Internet untuk membuktikannya kepada polis, satu proses yang sangat mengaibkan.

Ada mangsa membunuh diri kerana video yang tersebar

Di Korea Selatan, permintaan untuk video jenis voyeurism (mengintai) dan juga revenge porn (video yang dimuatkan oleh bekas kekasih untuk membalas dendam) adalah sangat tinggi. Ada laporan yang memetik bahawa laman porn membayar sehingga 100K won (RM360) bagi setiap video, malah ada yang mengatakan penjenayah molka boleh memperoleh sehingga USD10K sebulan (RM409K) dengan gambar dan video haram ini.

Salah satu laman web Korea Selatan yang sangat terkenal dengan porn jenis ini adalah Soranet yang menerima lebih sejuta pengunjung dan memuatkan ribuan video molka.

Beberapa wanita yang dipaparkan di dalam video-video tersebut telah mengambil nyawa mereka.

Perlakuan memuat turun gambar atau video yang mengaibkan orang lain boleh membawa trauma kepada individu tersebut. Screenshot daripada BBC di YouTube.

Salah seorang pengasas laman web tersebut telah dikenakan hukuman denda sebanyak USD 1.25 juta (RM5.11 juta) dan penjara selama 5 tahun. Suaminya serta tiga lagi pengasas masih tidak dapat dikesan.

Park Soo-yeun, aktivis yang menubuhkan organisasi Digital Sex Crime Out memainkan peranan besar dalam menjatuhkan Soranet. Menurut Park, rakyat perlu sedar bahawa video ini bukanlah sekadar porn, tetapi merupakan keganasan seksual.

Tentangan daripada wanita Korea Selatan terhadap gangguan seksual

Park merupakan salah seorang individu penting dalam gerakan yang semakin berkembang dalam menentang budaya molka.

Lebih daripada 400 ribu orang telah menandatangani petisyen untuk memaksa polis menyiasat kes molka dengan serius. Tahun 2018 sahaja, terdapat lima perarakan besar yang diadakan secara berturut-turut di Seoul, menjadikannya protes wanita terbesar di Korea Selatan.

Ramai daripada peserta perarakan tersebut dilaporkan memakai topeng dan tidak mahu muncul dalam gambar kerana risau akan keselamatan peribadi mereka. Ini kerana peserta terdahulu telah menjadi bahan cemuhan yang sangat teruk di Internet.

Sesetengah peserta memakai topeng untuk mengelakkan daripada menjadi sasaran buli di Internet. Gambar oleh Getty, dipaparkan di BBC.

Berdepan dengan tekanan ini, polis Korea Selatan mula menggerakkan skuad untuk mencari kamera rahsia menggunakan alat yang boleh mengesan lensa dan peranti elektrik. Carian ini dilakukan di pelbagai tempat awam termasuklah pantai, kolam renang, hotel, pusat membeli-belah, malah di hospital sekalipun.

Polis turut mengajar orang awam tentang objek yang boleh menyamar sebagai kamera termasuklah topi, tali pinggang, dan tali leher. Kerajaan juga mula menyebarkan poster dan stiker untuk memberi amaran tentang jenayah ini.

Walaupun begitu, para aktivis dan juga mangsa masih skeptikal dengan usaha ini kerana ia tidak menampakkan sebarang hasil dan tidak berjumpa sebarang kamera rahsia. Sebilangan daripada mereka membuat kenyataan bahawa operasi tersebut hanyalah wayang semata-mata.

Poster yang dikeluarkan oleh polis Korea Selatan ini dikritik kerana dianggap memperlekehkan isu molka. Screenshot dari Twitter.

Molka menggambarkan layanan rakyat Korea Selatan terhadap wanita

Laporan mengatakan bahawa masyarakat Korea Selatan dipenuhi dengan jenayah seksual terhadap wanita. Pekerja baru dipaksa mengadakan hubungan seks dengan supervisor mereka. Menurut Institut Jenayah Korea, 8 daripada 10 lelaki mengaku mendera teman perempuan mereka.

Menurut Se-Woong Koo dari majalah Korea Exposé, jenayah molka serta budaya Korea Selatan yang misoginistik, adalah reaksi terhadap hak asasi wanita yang mula diberikan secara sama rata.

Video viral di Korea akan lelaki yang memukul teman wanitanya dan mengejarnya dengan lori. Gambar dipaparkan di CNA Insider.

“Masyarakat ini mempunyai kadar jenayah yang rendah secara amnya, namun bila bercakap tentang jenayah seks, ianya perkara yang berbeza sama sekali.”

“Sebilangan golongan lelaki yang berpendapat wanita tidak layak untuk meminta hak mereka, dan jumlah lelaki seperti ini semakin meningkat. Saya fikir jenayah seksual di Korea Selatan adalah satu cara untuk melepaskan kemarahan kepada wanita. Molka adalah cara mudah untuk membalas dendam.”

Bagaimana Korea Selatan perlu menangani masalah molka?

Protes besar-besaran meminta kerajaan agar mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah, serta pihak polis agar mengambil setiap aduan yang diterima dengan serius.

Dari segi individu, rakyat Korea Selatan perlu sedar bahawa perbuatan molka bukan sahaja satu jenayah, namun boleh menghancurkan hidup wanita tersebut buat selama-lamanya.

Orang yang berkongsi serta melihat gambar dan video dalam group chat juga perlu sedar bahawa aktiviti tersebut menggalakkan molka. Jika mereka mempunyai rasa hormat terhadap individu yang terlibat, mereka akan berhenti daripada merendahkan martabat wanita.

MK was once involved in a magic gig. You know the trick where they cut a person into half? He was one of the halves.

Send this to a friend