Bicara Bersama Sasterawan Negara A. Samad Said
close
Culture General

Eksklusif Hari Malaysia: Bicara Bersama Sasterawan Negara A. Samad Said

Siapa tak kenal Datuk Seri A. Samad Said, antara tokoh penulisan yang disanjung di Malaysia – sebaris dengan nama-nama terkemuka seperti Ibrahim Ali dan Keris Mas. Lebih dikenali dengan nama timangan Pak Samad, beliau memulakan perjalanan karier sebagai kerani dan kemudian wartawan, seterusnya berkembang dalam pelbagai cabang bidang penulisan termasuklah novel, cerpen, esei, puisi, dan drama.

Sempena Hari Malaysia, kami berwawancara bersama A. Samad Said tentang sastera, penulisan, dan peranan kedua-duanya di negara ini.

Bagaimana Pak Samad mula berkecimpung dalam dunia kesusasteraan?

Saya memang minat sastera dari zaman sekolah, di mana saya suka membaca buku-buku klasik Inggeris. Lepas itu saya ikut untuk berkembang dalam bidang kesusasteraan dengan menceburkan diri dalam program-program (gerakan sastera) Angry Young Men di Britain serta The Beatniks (Beat Generation) di Amerika. Saya juga gemar mengikuti apa yang berlaku di Afrika. Oleh kerana Afrika pada waktu itu adalah benua yang agak bergelora, jadi saya ingin tahu sama ada gelora Afrika itu terpancar atau tidak dalam sastera yang dihasilkan.

Bagaimanakah Pak Samad berkarya?

Dalam dunia sastera ini, saya barangkali aneh sedikit. Saya biasanya merakam dalam menulis. Banyak orang terus bekerja guna komputer. Dari dulu hingga sekarang jika saya ingin merakam apa yang terlintas di minda, saya lebih selesa dengan menulis. Jadi mudah untuk saya ingat benda itu.

Apakah sumbangan kesusasteraan dalam pembangunan sesebuah masyarakat?

Di fikiran saya, sastera kita belum sampai ke tahap yang menggelorakan. Atau dalam Bahasa Inggeris, ‘to agitate’. Itu belum sampai. Kita lebih banyak memperjelas, bukan membimbing.

Saya fikir kalau ada pun, dulunya ada satu kumpulan sasterawan di Singapura bernama Asas 50. Itu memang ada landas mempercayai bahawa kesusasteraan itu harus menjadi alat untuk menggembeling iklim, suasana dan suara rakyat. Melalui kesusasteraan, itu memang ada.

Ke manakah hala tuju dunia kesusasteraan di Malaysia?

Sastera kita sangat berbeza dengan Indonesia. Kita lebih romantis, lebih lokal. Kita tidak internasional. Kalau kita mengikuti kesusasteraan Indonesia seperti (karya-karya penulis terkenal), Pramoedya Ananta Toer. Dia sudah maju dengan cara ucapannya, cara pemberiannya, dan cara rakamannya. Kita masih agak teragak-agak kerana dalam dunia kesusasteraan kita, tidak ada banyak buku-buku sastera yang bermutu.

Antara buku-buku yang kita boleh banggakan adalah seperti Rimba Harapan (Keris Mas), Desa Pingitan (Ibrahim Omar), dan Tulang-Tulang Berselerakan (Usman Awang). Selepas itu memang ada beberapa buku, tapi tidak ada yang sampai menggugah, tidak sampai merombak. Jadi di situ saya fikir, tidak banyak berganjak. Kita tidak semaju Indonesia (dalam bidang kesusteraan).

Adakah sastera masih relevan di dunia moden ini?

Saya fikir memang sewajibnya begitu. Bahawasanya kita tidak ada tempat rujuk selain dari kesusasteraan. Ada lah akhbar, tapi akhbar tidak memimpin. Hanya melalui buku sastera oleh sasterawan yang sudah dihargai, yang dihormati. Di situ, kita petik buah-buah keindahan, hikmah-hikmah hidup. Saya fikir tidak ada banyak buku yang macam itu.

Apakah ancaman terbesar dunia sastera di Malaysia?

Saya fikir penghargaan memang memberi atmosfera yang menggalakkan (untuk penulis). Tapi kemampuan penulis atau artis itu sendiri sangat agak terbatas. Saya tidak tahu mengapa. Barangkali kerana pulangannya. You tulis buku you tidak boleh hidup. Kecuali kalau buku itu terpilih sebagai buku teks sekolah. Jadi tidak ada ransangan (untuk penulis berkarya).

Orang masuk ke dunia sastera tidak mengharapkan wang. Orang masuk kerana minat dan seumpamanya. Dalam situasi seperti ini saya tidak fikir dunia buku (di Malaysia) boleh berkembang dengan pesat.

Kenapa agak susah untuk menarik minat masyarakat terhadap sastera? Dan apa yang kita boleh buat untuk membantu?

Itu adalah tugas Dewan Bahasa dan Pustaka dan ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) untuk menemukan (mengiktiraf) buku-buku yang munasabah (relevan dalam pembangunan masyarakat) dan memahsyurkannya. (Dunia penerbitan di Malaysia) belum sampai ke iklim dunia buku di barat, di mana hari-hari ada buku baru. (Di negara ini), kita barangkali (harus tunggu) dua-tiga tahun untuk munculnya buku-buku yang menyumbang (bermutu). Jadi kalau kita terjumpa buku yang semacam itu usaha kita adalah untuk menerbitkannya dan menyebarkannya dan meransang supaya buku itu ada di kutub khanaf-kutub khanaf (perpustakaan), khususnya kutub khanaf di desa.

Saya tidak tahu situasi kutub khanaf di desa sekarang ada buku apa, adakah buku saya, adakah buku Usman Awang, buku Keris Mas, Ibrahim Omar? Saya tidak tahu, tapi saya fikir itu yang kita harus perhatikan. Adakah kutub khanaf di desa itu ada berkembang atau dimanfaatkan. Kadang-kadang kutub khanaf itu ada tapi orang tidak memanfaatkan.

Pesanan Pak Samad untuk mereka yang mahu menjadi seorang penulis atau karyawan?

Kita harus ada kesedaran nasionalis. Ertinya kita harus bersikap kebangsaan, dan merasa bangga dengan buku-buku kita. Walaupun buku-buku itu tidak semuanya bermutu atau setaraf dengan buku-buku dari Indonesia misalnya, itu tidak menjadi soal. Kita harus tumbuhkan rasa kasih, rasa hormat, serta rasa keghairahan untuk menyelongkar khazanah sastera kita sendiri. Dan itu sebenarnya adalah bergantung kepada semangat kita saja.

Apakah ciri-ciri penting yang seorang penulis harus ada?

Nombor satu adalah pengalamannya – pengalamannya sendiri. Kalau dia tidak ada apa-apa, yang dia nak tulis? Dan pengalaman itu mesti menjadi suara jati. Suara jati bangsanya. Menyingkap kehidupan spontan bangsanya. Jikalau dia mempunyai kemampuan misalannya dia boleh menoleh ke belakang, mengambil kisah-kisah yang lalu dan menghadirkannya untuk di depan. Itu juga boleh untuk menolong.

Kita belum sampai ke tahap futuristik.  Cerita-cerita khayalan biasa itu ada. Tapi mencukupi sekiranya kita dapat menggambarkan apa yang sedang berlaku sekarang, dan menggambarkannya secara ikhlas dan sejati. Dan melalui (penulisan seperti ini) kita hantar pesanan dan hikmah. Itu saya fikir kalau kita sudah dapat buat, itu amat penting.

Dan yang terpenting antara yang lain adalah merakamkan kehidupan yang terkini. Kita selalu berkhayal-khayal yang belakang, itu saja. Tapi kita hanya dapat menunjukkan kesempurnaan yang biasa kita kalau kita dapat merakamkan peristiwa-peristiwa yang terkini. Jadi baru boleh menolong, jikalau kita (kerap) balik kepada mitos atau sejarah lama saja, kita tidak bergerak.

Perkataan yang mempunyai maksud yang cantik bagi Pak Samad?

Saya amat suka sangat dengan perkataan ‘hemah’ dan ‘hikmah’. Hemah itu (merujuk kepada) budi bahasa kita, di mana kita benar-benar berfikir tentang sesuatu hal secara saksama. Hikmah pula adalah hasil daripada hemah itu.

Jadi kita harap apa yang kita hantar atau apa yang kita tulis itu tertinggal menjadi khazanah di sanubari dan minda. Itu yang saya harapkan, dan saya juga mengharapkan dengan peninggalan pusaka seni itu, kita menjadi bijaksana. Kita tidaklah menjadi orang yang kelam kabut.

Apakah karya yang anak muda harus baca?

Saya fikir orang sekarang ini kena lah baca buku-buku SM Zakir dan Ibrahim Omar. Dan juga buku dari Faisal Tehrani. Tapi buku-buku Faisal Tehrani ni banyak yang diharamkan. Saya tidak mahu campur soal itu tapi saya fikir pengharaman itu barangkali lebih mendorong kita untuk membaca. Kenapa ia diharamkan? Adakah hasil kesusasteraan itu melanggar norma-norma sosial dan adat kita, ataupun hemah dan hikmah kita. Jadi sebagai seorang individu, kita tidak boleh fikirkan soal larangan itu. Kita mempunyai kemampuan kita sendiri dan hajat kita sendiri. Selagi buku itu dipayahkan untuk dibaca, kita wajib untuk mencuri-curi membacanya sebab kita juga ingin tahu.

Sebab tentu saja ada kelompok tertentu yang menjadi tunggak untuk menghalang kesusasteraan tertentu tersebar di tengah rakyat. Dan kita tidak mahu kelompok itu menjadi diktator  – “Ini buku boleh baca, ini buku tidak boleh baca”. Kalau ada buku yang barangkali (bertema) gelap, kelam, dan agak mencabar, kita bawa ke universiti dan adakan bincangan umum. Jadi kita akan untung. Jangan hanya lima enam orang itu saja yang mematikan buku-buku yang tertentu hanya kerana difikirkan agak berbahaya. Bukan semua orang bodoh. Jadi kita harus menghargai kepandaian orang itu dengan tidak membodohkan atau membataskan.

Kenapa Pak Samad memilih untuk menulis?

Saya sebenarnya melakukan semua ini kerana kepercayaan saya. Bahawasanya masyarakat kita memang kadang-kadang tergamam oleh kerana hal-hal yang berlaku. Saya fikir wajib (untuk) orang yang lebih tenang seperti saya, itulah yang saya lakukan.. menggalakkan orang untuk memeriksa kehidupan bangsanya.

Yang sudah lalu, yang sedang berada (berlaku) dan mungkin yang meneruang kepada era yang akan datang. Dan saya harap kita jangan jadi bangsa yang melihat sahaja. Kita harus menjadi bangsa yang berbuat.


Wawancara bersama A. Samad Said ini adalah sebahagian daripada kempen #IDoItForMY bersempena Hari Malaysia.

Irvin enjoys conversations with the trees and the stars. Sometimes they share recipes, sometimes they share jokes.

Send this to a friend